ZUHUD
Hakikat zuhud
ialah menyingkirkan apa apa yang semestinya disenangi dan diingini oleh hati,
kerana yakin ada sesuatu yang lebih baik untuk meraih darjat yang tinggi di
sisi ALLAH.
Syeikh Abdul Samad Al Palimbani mengatakan bahawa ada rukun kezuhudan.
1. Meninggalkan sesuatu kerana menginginkan sesuatu yang lebih baik lagi
2. Meninggalkan keduniaan kerana mengharapkan akhirat.
3. Meninggalkan segala sesuatu selain ALLAH kerana mencintaiNYA.
Sebagai contoh untuk zuhud tingkat ini, ada satu kisah seorang sahabat Nabi
ternama,Haritsah. Nabi SAW bertanya “Bagaimana kamu hari ini, wahai Haritsah?”
Dia menjawab,”Aku sungguh beriman, ya rasulullah.”
“Apa buktinya?” tanya Nabi. Dia menjawab,”Aku telah memalingkan jiwaku dari
dunia ini. Itulah sebabnya di siang hari aku haus dan di malam hari kau
terjaga, dan rasa rasanya aku melihat Arasy Tuhanku menghampiriku, dan para
penghuni syurga sedang bersuka ria dan para penghuni neraka sedang menangis.”
Nabi SAW bersabda,” itulah seorang mukmin yang hatinya telah dibukakan ALLAH.
Kau telah tahu Haritsah, maka camkanlah.”
Imam Ahmad Ibnu Hambal mengklasifikasikan tingkatan zuhud yakni :-
1. Zuhudnya orang orang awam ialah meninggalkan hal hal yang haram
2. Zuhud orang orang yang khawas (khusus) iaitu meninggalkan hal yang berlebih
lebihan (al fudhul) meskipun barang halal.
3. Zuhud orang Arif iaitu meninggalkan segala sesuatu yang dapat memalingkan
daripada mengingati ALLAH.
Al Imam Ghazali pula membahagikan zuhud kepada tiga peringkat yakni :-
1. Tingkat terendah ialah menjauhkan dunia agar terhindar dari hukuman di
akhirat
2. Tingkat kedua ialah mereka yang menjauhi dunia kerana ingin mendapatkan
imbalan di akhirat
3. Tingkat tertinggi ialah zuhud yang ditempuh bukan lagi kerana takut atau
harap, tetapi semata mata kerana cinta kepada ALLAH Ta’ala.
Menurut Syeikh Abdus Samad Al Palimbani,proses kehidupan zuhud itu ada 3
tingkat :-
1. Zuhud Awal
2. Zuhud Menengah
3. Zuhud tingkat Terakhir (muntahi)
Pada semua tahap proses kezuhudan tersebut baik di tingkat permulaan mahupun
akhir, para zahid harus membentengi dirinya dengan sifat2 wara’ atau wira/I
iaitu menjaga diri dari hal hal yang haram dan perkara perkara subahat serta
segala sesuatu yang meragukan
Tingkat Pertama
Zuhud awal (mubtadi’) adalah kezuhudan seseorang yang di dalam hatinya masih
ada rasa cinta kepada keduniaan, namun demikian dia bersungguh sungguh melawan
hawa nafsunya. Maka, pada tingkat permulaan inilah seorang zahid harus melatih
diri untuk bersikap wara’. Wara’ bagi zahid pemula dapat diertikan sebagai
sifat dan sikap hidup seseorang yang sentiasa meninggalkan perkara perkara
subahat iaitu segala sesuatu yang belum jelas hala atau haram. Sebagaimana di
terangkan dalam hadis Nabi SAW
“ Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Tapi di antara
keduanya ada perkara yang masih samara samara (subahat). Mengambil yang subahat
dapat menyebabkan kita jatuh ke dalam larangan Tuhan”
Tingkat Kedua
Zuhud orang yang hatinya sudah meninggalkan dunia, hatinya tidak lagi tertarik
kepada dunia. Pada tahap ini orang orang zahid dituntut meningkatkan sikap
wara’nya ke tingkat yang lebih tinggi, iaitu wira’I yang biasa diertikan sebagai
sikap hidup meninggalkan segala sesuatu yang meragukan dalam hati, sebagaimana
sabda Nabi SAW
“Tinggalkan apa yang meragukanmu pada apa yang tidak meragukan”
Ini kerana keraguan itu merupakan sebahagian daripada angkara syaitan agar
manusia menjadi was was atau syak. Nabi SAW juga pernah mengingatkan, bahawa
hakikat dosa sesungguhnya terletak pada apa yang diragukan oleh hati nurani.
Oleh itu, baginda mengajarkan manusia agar selalu bertanya dan minta
pertimbangan pada hati nuraninya yang benar.
Berdasarkan dua tahap proses kezuhudan tersebut di atas, seorang zahid dapat
naik ke tingkat zuhud yang paling tinggi nilainya iaitu zuhud muntahi; zuhudnya
golongan orang yang sudah makrifatullah (arifin). Bagi mereka, dunia dan segala
isinya ini sudah tidak ada nilainya lagi sehingga segenap hati dan fikiran
mereka sudah menghadap ke akhirat. Maka zahid pada tingkat yang tertinggi ini
memilikki cirri cirri rohaniah yang amat tinggi maqamnya. Hatinya tidak lagi
bersuka ria kerana memperolehi sesuatu dan tidak pula bersedih kerana
kehilangan sesuatu; orang yang memujinya dan orang yang mencelanya dianggap
sama saja; dan dia sentiasa merasa dekat dengan Tuhan dan merasakan nikmatnya
ibadah.
Seiring dengan peringkat kezuhudan yang dicapai oleh para zahid muntahi ini,
maka sifat sifat wira’I yang dimilikki mereka pun merupakan nilai nilai hakiki
yang tinggi. Mereka menjalani wira’I dalam erti meninggalkan segala sesuatu
yang dapat membuat seseorang lalai dan lupa kepada ALLAH walau sekejap saja
dianggap sebagai dosa. Inilah puncak hakikat zuhud dan wira’I yang
sesungguhnya.
Zuhud peringkat pertama adalah dikalangan orang awam, zuhud peringkat kedua
adalah dikalangan para salik yang soleh dan peringkat terakhir ini hanya boleh
dimilikki oleh orang orang yang lebih khusus atau khawas al khawas iaitu para
Sufi sebagai orang orang yang arif bijaksana.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar